the one about badrul and diddy in the news...
Diddy seronok berlakon
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
KEGAGALAN penyanyi Syamsul Hirdy Muhid atau Diddy Hirdy menjuarai program realiti, Akademi Fantasia 4 (AF4) bukanlah penamat pada karier seninya. Malah, dia yang mengambil langkah bergerak sendiri selepas keluar daripada AF untuk terus meraih perhatian khalayak. Lagu Hilang dan Sudah antara single yang melonjak namanya di persada hiburan tempatan.
Selepas tiga tahun bergelumang dalam bidang seni, dalam diam Diddy mengembang bakat menerusi lakonan.
Katanya, dia berpeluang menunjukkan bakat lakon pada tahun lalu menerusi drama Rebab Tidak Bertali. Sejak itu, dia mengakui menerima beberapa tawaran lakonan lain.
Hingga kini, dia sudah membintangi lima drama. Menariknya, tiga drama lakonannya menyaksikan dia membawa watak utama.
Baru-baru ini, drama Serakah Rashid arahan Rohmani Gollhassan ditayangkan menerusi Astro Prima. Diddy yang membawa watak Dr Rashid bergandingan bersama Siti Fazurina sebagai pelakon utama.
Sungguhpun, dia tidak mempunyai latihan secara profesional dalam bidang lakonan, namun dia berusaha mendalami watak sebaik mungkin.
Memberikan cabaran, dia perlu hayati karakter sebagai doktor, suami dan bapa yang mengharungi pelbagai dugaan hidup.
"Memang sukar sebenarnya untuk saya berlakon dalam drama ini. Mulanya, saya buat ulang kaji bagaimana gaya doktor dan perlu juga tahu beberapa peralatan asas yang sering digunakan seperti stetoskop.
"Dalam pada itu, ia mencabar diri saya untuk melakonkan watak dewasa yang menjadi suami dan kemudian tertekan apabila isteri melahirkan anak cacat.
"Tidak dinafikan, sejak kebelakangan ini banyak tawaran lakon yang saya terima. Terbaru, saya menerima tawaran satu drama seram yang akan disiarkan menerusi satu laman web. Jika difikirkan, pembabitan saya dalam lakonan suatu yang tidak dijangka.
"Minat berlakon dalam diri ada, tetapi bila sudah mencuba, mula rasa seronok. Buat masa ini, saya belum ketagih untuk berlakon sebaliknya saya hanya menerima tawaran berlakon untuk mengisi masa lapang. Apapun, nyanyian masih menjadi keutamaan," katanya.
Kata Diddy, 23, dia bersyukur bila mendapat peluang berlakon apatah lagi diberi kepercayaan membawa watak utama.
Sebagai pelakon baru, dia merasakan tekanan berlakon tetap ada kerana kebanyakan watak yang dibawa dianggap berat dan memainkan peranan besar.
"Seperti tiga drama yang pernah saya lakonkan iaitu Rebab Tidak Bertali, Kasih Berbunga Lalang dan Serakah Rashid, ketiga watak berbeza ini memerlukan saya menangis. Ia memang sukar, tetapi saya ambil sebagai cabaran.
"Jika diberi pilihan, saya ingin bawa karakter remaja yang lebih sesuai dengan jiwa dan usia saya. Alhamdulillah, saya gembira apabila orang sekeliling memberi sokongan pada lakonan saya.
"Drama keempat saya iaitu Sukun pula menyaksikan saya pertama kali melakonkan karakter komedi manakala saya menjadi artis jemputan untuk drama Otai.
"Saya juga sibuk mempromosikan single terbaru, Biar Diddy Sambung, yang menampilkan Wangi (The Fabulous Cats) dan masih dalam proses mengumpul lagu untuk album kedua saya," katanya.
Menyentuh soal peribadi, Diddy tidak menyembunyikan dia masih bahagia menjalinkan hubungan dengan tunangnya, Ellen Norazah Abdullah yang dikenali sejak tiga tahun lalu. Walaupun sebelum ini khabar angin mengatakan mereka sudah putus tunang, tetapi hakikatnya mereka tetap mencintai antara satu sama lain.
Katanya, buat masa ini masing-masing sibuk untuk mencari rezeki dan mengumpul harta untuk masa depan bersama.
"Sejak kami rapat dan bertunang, dia faham dan menerima saya seadanya. Lagipun apa yang saya buat seperti lakonan hanya atas dasar kerja asalkan adegan saya tidak melampau.
"Dia juga tidak mempunyai masalah, cemburu atau terlalu mahu mengawal pergerakan saya. Malah, dia benarkan saya terus berlakon.
"Antara saya dengan dia, kami memahami tanggungjawab sendiri dan apa yang penting, kami bekerja untuk masa depan bersama yang lebih stabil," katanya.
|