Bidadari Hati

Thursday, January 11, 2007

the one about badrul and diddy and f-tersix in the news...

Maestro Lepaskan Diddy

Oleh: ZIEMAN
MStar Online

Pengurus yang profesional bukan saja dapat menaikkan nama seseorang artis dalam sekelip mata malah dapat membentuk keperibadian seseorang artis.

Di antara ramai pelajar lepasan Akademi Fantasia, mungkin Diddy artis AF musim 4 dirasakan cukup bertuah kerana dia kini diuruskan oleh Badrul Hisham dan tidak lagi bernaung di bawah pengurusan Maestro Talent.

Segala hal berkaitan karier Diddy akan diuruskan oleh F-ter Six Records milik Badrul Hisham.

Badrul atau lebih mesra dengan panggilan Bad, bukanlah sebarang pengurus. Reputasinya di dalam media dan bidang komunikasi dan pengalaman yang luas serta sikap profesionalnya difahamkan akan banyak membawa sinar baru dalam karier Diddy. Bagi Bad, perhubungannya dengan Diddy lebih bersifat seorang abang dan ikatan inilah yang akan mempermudahkan dia memperbaiki kelemahan yang ada pada Diddy.




Diddy kini bergerak 'solo'



Menurut Bad, dia sudah lama memperhati dan mengikuti perkembangan Diddy."Percaya tak, seawal di peringkat audition AF4 lagi saya sudah mula memberi perhatian kepada bakatnya," jelas pengurus yang mempunyai perancangan rapi untuk Diddy.

Diddy berbakat besar

Dari jauh Bad menaruh harapan tinggi agar Diddy terpilih ke peringkat akhir. Walaupun hasrat itu tidak kesampaian, namun kehebatan vokal Diddy tetap menambat hati Bad yang serius dan bersungguh-sungguh untuk mengurus karier anak muda ini.

"Bukannya yang lain tidak bagus tapi entah kenapa ketika saya mendengar Diddy menyanyikan lagu Mimpi Yang Tak Sudah yang dipopularkan oleh Ibnor Riza, jiwa saya tersentuh dan hampir menitiskan airmata. Itulah penangan suara Diddy. Ia bisa meresap ke dalam jiwa kita," jelas Bad jujur dan mengakui dia adalah antara peminat setia Diddy.

Disebabkan keyakinan itu juga, Bad telah menubuhkan DazzlingDiddy Fan Club (FC) seminggu sebelum Prelude AF4 bermula.


"Saya begitu yakin dengan kebolehan Diddy semenjak hari pertama lagi. Bila sudah lama mengikuti perkembangannya, saya rasa terpanggil untuk menguruskan kariernya.

"Mungkin melihat kesungguhan saya dan pelan jangka panjang saya untuk Diddy, Freddie Fernandez dari Maestro tidak membantah apabila saya menyuarakan keinginan untuk menjadi pengurus Diddy," jelas Bad yang mempunyai pengalaman yang luas dalam industri hiburan.



Yanie, Bad dan Diddy



Yang pasti, kini Diddy sudah tidak perlu risau lagi tentang karier seninya. Segala urusan, semuanya disusun dan diatur rapi oleh Bad dari pakaian, jenis lagu dan apa jua kemudahan yang diinginkan. Pendek kata, Diddy hanya perlu menjaga suara dan menyanyi saja."Saya sudah lama ingin menguruskan karier seorang artis yang berbakat. Alhamdulillah, inilah peluang saya dan saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk Diddy," jelas Bad yang cukup mengenali kelebihan mahupun kekurangan yang dimilikki oleh Diddy.

Antara projek terawalnya ialah mengeluarkan sebuah single bertajuk Saling Terpesona, duet bersama Yanie (Mentor) yang semakin mendapat tempat di hati peminat. Lagu Saling Terpesona sentuhan Audi Mok dan Nurfatima itu juga akan dimuatkan dalam album Yanie yang masih dalam proses rakaman.

Diddy juga sedang membuat persiapan untuk album sulungnya tidak lama lagi yang mana akan dikeluarkan di bawah label F-ter Six Records milik Bad. Bad yang mempertaruhkan sejumlah wang besar untuk penerbitan album ini akan memastikan album ini akan menaikkan lagi karier Diddy.

Album ini akan diterbitkan oleh Audi Mok dan beberapa orang komposer lain. Walaupun mengkagumi bakat Diddy, Bad sedar Diddy harus memperbaiki kelemahan yang ada. Untuk itu, Bad sudah meminta jasa baik guru tarian, Corrie Lee untuk mengajar Diddy menari. Begitu juga dengan kelas vokal, Diddy akan terus mengikuti kelas vokal di bawah tunjuk ajar seorang guru yang masih belum ditetapkan lagi.

"Diddy adalah seorang jujur dan terlalu lurus. Ada kalanya dia perlu melakukan, berkata atau berbuat sesuatu secara spontan dan itulah yang sedang saya cuba ajar Diddy," kata pengurus yang cukup dedikasi ini.

Diddy rasa lega dilepaskan dari Maestro

Diddy yang kini muncul dengan imej lebih ranggi berkata dia boleh menarik nafas lega apabila tidak lagi bernaung di bawah Maestro Talent.

"Saya sudahpun dilepaskan dari kontrak Maestro dan kini Bad yang akan merancang pelbagai strategi bagi memastikan kerjaya saya berjalan lancar.

Ketika diminta mengulas perasaannya apabila dilepaskan dari Maestro, Diddy menganggap dia bernasib baik. Ibarat sebuah keluarga yang cukup besar, amat sukar memberi perhatian dan kasih sayang dengan adil dan saksama.

Walaupun masih teringat kawan-kawan namun demi karier yang baru bermula, Diddy terpaksa meninggalkan tempat yang satu ketika dulu banyak meninggalkan memori indah.



Diddy bersama pasangan duetnya, Yanie untuk lagu Saling Terpesona


"Saya rasa lega, seronok pun ada. Sedih sikit. Rasanya saya bertuah kerana Maestro memahami hasrat saya untuk bergerak aktif bagi menentukan hala tuju kerjaya saya. Kami mengambil jalan tengah dengan berbincang dengan pihak Maestro dulu sebelum membuat sebarang keputusan," kata Diddy yang menamatkan kontrak tiga tahunnya bersama Maestro pada 6 Disember lepas.

Diddy belum bersedia menjadi suami

Pada usia 21 tahun, Diddy menganggap usia semuda itu terlalu muda untuk mendirikan rumahtangga.

"Pertunangan adalah satu ikatan tanda untuk satu perkahwinan tapi kami berdua masih muda lagi. Tunggulah bila sampai masanya nanti, kami akan berkahwin juga," jelas Diddy yang nama sebenarnya ialah Syamsul Hirdy Muhid.

Anak kelima dari enam beradik ini telah mengikat tali pertunangan dengan seorang pembantu perakaunan di sebuah syarikat swasta, Allen Norazah Abdullah, 21, pada Februari lalu sebelum menyertai AF4.

Allen merupakan teman persekolahan Diddy dan mereka mula rapat sejak belajar dalam tingkatan dua di Sekolah Menengah Pasir Gudang, Johor.

"Sebelum bergelar suami, saya perlukan satu pekerjaan yang stabil atau sekurang-kurangnya mempunyai pendapatan tetap. Saya hendak kumpul duit dan mencapai impian saya dulu. Bila dah betul-betul bersedia barulah kami berkahwin. Kami tidak mahu terburu-buru. Allen memahami situasi Diddy, jadi tidak ada masalah," jelas Diddy yang bernaung di bawah bintang Libra ini.

Diddy yang pernah menyimpan cita-cita untuk menjadi pendidik juga teringin untuk menjadi pelakon satu hari nanti.

"Diddy berminat juga untuk berlakon. Entah kenapa rasa tertarik pula....," katanya.


* * * * * * * * * *


13 mahu terus bersama Maestro

Oleh RUDY IMRAN SHAMSUDIN
Harian Metro Online

SEBELUM ini pelbagai kontroversi dikaitkan dengan syarikat pengurusan artis Maestro Talent and Management mengenai rasa tidak puas hati beberapa bintang Akademi Fantasia (AF) yang bernaung di bawah syarikat itu.



Diddy kini di bawah f-tersix Records



Paling dihebohkan mengenai Maestro yang dikatakan gagal menguruskan aktiviti mereka dengan baik dan penerbitan album yang dijanjikan tiada sehingga kini walaupun hampir tiga tahun menanti.

Namun kelmarin, Maestro mengadakan mesyuarat tergempar bersama 13 bintang AF dari musim pertama hingga empat yang dirasakan tidak punya potensi dan menghadapi masalah untuk meneruskan kerjaya seni.

Tindakan ini diambil bagi membolehkan tumpuan dapat diberikan kepada sebahagian bintang AF yang kini sedang dalam proses menyiapkan album terbaru mereka.

Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent And Management, Freddie Fernandez, mengakui mengenai perbincangan itu, namun dalam waktu sama enggan mendedahkan artis yang dipanggil untuk berbincang.

“Saya rasa tidak perlulah nama mereka didedahkan kerana ia akan memburukkan reputasi mereka. Cuma dalam hal ini mengejutkan saya apabila mereka semua memilih untuk terus bernaung di bawah Maestro.

“Saya tidak tahu mengapa mereka terus memilih Maestro. Terima kasih kerana masih percayakan kami dan janji saya kepada mereka, Maestro akan cuba sebaik mungkin mengetengahkan bakat dimiliki 13 bintang ini sekali gus mengetengahkan mereka dalam pelbagai bidang seni dan tidak tertumpu kepada nyanyian saja,” katanya.

Tambah Freddie lagi keputusan awal ini dibuat kerana Maestro tidak mempunyai cukup sumber terutama dari sudut tenaga kerja untuk menerbitkan semua album bintang AF yang bernaung di bawah syarikat pengurusannya.

“Sehingga sekarang ini pun ada ramai lagi bintang AF yang bersama dengan kita masih tidak berpeluang merakamkan album. Selepas memikirkan semasak-masaknya saya berasa adalah baik kami memberikan 13 artis ini pilihan sama ada mahu terus bersama kami atau tidak,” katanya.

Dalam waktu sama, Freddie menjelaskan bintang AF musim pertama seperti Khai, Rosma, Sahri dan Burn membuat keputusan terus berada bersama Maestro selepas kontrak tamat bulan Ogos lalu dan kini sedang menghabiskan proses rakaman album.

Terbaru beberapa orang lagi bintang AF memohon keluar daripada pengurusan Meastro sudahpun dilakukan antaranya Akma dengan alasan mahu melanjutkan pelajaran.

“Sementara itu Reza pula kita lepaskan selepas dia memilih untuk memberikan tumpuan kepada kerjaya sebagai penyampai radio. Lagipun Maestro tidak mempunyai fokus dalam bidang itu. Bagaimana pun kami terus memberikan sokongan kepada mereka berdua.

“Amirul pula kami lepaskan kerana sebagai bintang paling muda cara persembahannya kurang mendapat perhatian terutama apabila membabitkan persembahan makan malam, jadi tidak banyak tawaran diterimanya.

“Pihak kami cuba mengetengahkan Amirul dengan melakukan pelbagai perkara tetapi sayang ia tidak mendapat perhatian umum. Jadi apabila melepaskan Amirul kami berharap dia akan dapat merencanakan kerjaya seninya sendiri secara matang,” katanya.

Ada juga beberapa bintang yang bernaung di bawah Maestro dilepaskan dengan syarat seperti Diddy dan Zila yang kini sudah diikat syarikat rakaman dan pengurusan lain.

Walaupun Diddy kini berada di bawah syarikat pengurusan dan rakaman f-tersix Records tetapi apa juga perkembangan diri penyanyi itu masih dalam perhatian pihak Maestro.